Program Service-Learning Malaysia University for Society (SULAM): Unleashing The Basics of Arduino Bagi Kursus BND 36103 Penderia dan Penggerak (Sensors and Actuators), merupakan salah satu usaha Jabatan Teknologi Kejuruteraan Elektrik (JTKE), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dengan kerjasama SMK Bukit Gambir, Tangkak dan Thinker Space (M) Sdn. Bhd. dalam meningkatkan minat pelajar sekolah menengah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Ia adalah susulan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi yang menggabungkan objektif pembelajaran kursus dengan khidmat komuniti.
Program ini telah berjaya membangun komuniti berpengetahuan melalui pemerkasaan pendidikan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) kepada lebih daripada 60 pelajar SMK Bukit Gambir, Tangkak pada 20-21 Mei 2024, berkonsepkan pendedahan teori dan praktikal yang diketengahkan melalui latihan dalam kumpulan (LDK) berkaitan pengaturcaraan mikropengawal Arduino.
Dengan demonstrasi dan bantuan mahasiswa/i Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Automasi Industri) dengan Kepujian, para pelajar SMK Bukit Gambir telah mengasah kemahiran praktikal melalui pembangunan reka bentuk prototaip produk sistem elektronik dengan misi mempermudah proses operasi sekolah dan penyampaian silibus RBT- sistem elektronik kepada para pelajar. Antara prototaip produk yang dibangunkan adalah ‘Smart Dustbin’, ‘Miniature Airport Runaway Model’, ‘Automatic Soap and Water Dispenser’, ‘Visitor Counter’ dan ‘RFID and Excel Attendance System’.
Selain mendorong penglibatan aktif mahasiswa/i UTHM dengan komuniti setempat, program ini juga telah memupuk sikap kepimpinan, keterampilan berkomunikasi, kebertanggungjawaban dan berdaya maju, seiring dengan salah satu matlamat kursus BND 36103 iaitu pembelajaran sepanjang hayat.
Melalui program SULAM ini, mahasiswa/i menaburkan bakti mereka kepada masyarakat menerusi pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan selain memanfaatkan ilmu pengetahuan yang dipelajari melalui kuliah dan bimbingan pensyarah. Didapati para pelajar sekolah berminat dan menunjukkan reaksi positif terhadap ilmu litar, pengaturcaraan dan kawalan sistem elektronik ini.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada Pejabat Hal Ehwal Pelajar, UTHM di atas dana yang diperuntukkan bagi aktiviti mahasiswa/i. Tidak dilupakan kepada pihak SMK Bukit Gambir, terutamanya kepada Tuan Pengetua, Encik Ab Mutalib bin Mahad, Guru Penolong Kanan 1, Puan Nurul Izzati Setia binti Abdullah, guru-guru Reka Bentuk dan Teknologi, diketuai oleh Cikgu Nurul Akmal binti Selamat @ Keliwon dan pelajar SMK Bukit Gambir atas kerjasama dan layanan yang terbaik. Terima kasih diucapkan.
Sekalung penghargaan buat pihak industri, Encik Mohd Ridzuan bin Johary selaku Pengarah Urusan Thinker Space (M) Sdn. Bhd. di atas perkongsian ilmu yang berharga kepada masyarakat dan keterlibatan di dalam sesi penjurian aktiviti projek.
Tidak lupa juga penghargaan kepada guru SMK Bukit Gambir dan barisan pensyarah FTK atas penglibatan dalam sesi penjurian aktiviti projek.
Tahniah buat semua mahasiswa/i kursus akademik BND 36103 kerana telah melaksanakan tugasan projek anda dengan jayanya!